Monday, February 13, 2012

TAK NAK 1CARE! (VERSI BM)


Penambahbaikan” sistem perkhidmatan kesihatan yang dinamakan 1Care untuk 1Malaysia kini hampir sedia dilaksanakan dan ia memang benar-benar menakutkan.

Kerajaan BN telah menjual idea 1Care di media massa sepanjang tahun 2011. Gambaran yang diberi berseri-seri tetapi tiada maklumat yang tetap yang telah diberi selama ini. Sekumpulan rakyat prihatin yang menggelarklan diri mereka
#taknak1care berjaya mendapatkan maklumat dalaman dan telah memulakan kempen Tak Nak 1Care di facebook yang hangat dibincang orangramai.

Pendedahan mereka pada halaman Facebook Tak Nak 1Care cukup membimbangkan pihak berkuasa, hinggakan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sendiri telah menyertai perbincangan di halaman facebook tersebut untuk cuba mengawal keadaan. Bagaimanapun, beliau setakat ini tidak dapat menjawab atau memberi penafian mutlak kepada apa-apa maklumat yang didedahkan pada halaman facebook itu. Akhirnya, tiada lagi ulasan diberi beliau melainkan berkata "belum ada apa-apa yang diputuskan lagi, tetapi walauapapun ia akan memberi manfaat kepada rakyat" berulang kali.

Bagaimanapun, Timb KP telah mengakui bahawa Malaysia kini sedang menjalankan proses pelaksanaan 1Care sehingga sejauh separuh prosesnya. Blogger ini tertanya-tanya - bagaimana boleh melaksanakan separuh sesuatu benda yang tidak wujud lagi, seperti yang ditekan oleh Timb KP?!

Saya difahamkan bahawa tahun 2012 akan nampak pelaksanaan 1Care dipertingkatkan. Kita boleh melihat pelbagai artikel dalam media arus perdana mengetengahkan kelemahan sistem perkhidmatan kesihatan kami. Ini sengaja dilakukan supaya rakyat akan disediakan untuk menerima mesej bahawa “penambahbaikan” sistem penjagaan kesihatan amat perlu. Undang-undang yang akan membenarkan pelaksanaan 1Care ini mungkin diluluskan tahun ini. Oleh itu, kita tidak mempunyai banyak masa untuk menghentikannya.

Saya tidak akan membincangkan struktur 1Care di dalam rencana ini. Untuk maklumat lanjut, sila "Like" halaman facebook
#taknak1care. Ada pelbagai maklumat mengenai 1Care di situ, juga beberapa perbincangan yang bernas, termasuk perbincangan panjang dengan Timb KP KKM sendiri, dan maklumat baru sering di-post. Anda juga boleh mencari Youtube untuk video Tak Nak 1Care.

Buat masa sekarang, saya hanya ingin meninjau masalah dan soalan-soalan yang timbul daripada "penambahbaikan" 1Care ini.

Pertama, saya percaya 1Care berdasarkan beberapa andaian yang berlandaskan dasar yang silap.

Andaian 1:
Kerajaan Malaysia tidak mampu membiayai penjagaan kesihatan awam lagi.


Walaupun kerajaan BN membelanjakan jauh kurang untuk perkhidmatan kesihatan (hanya kira-kira 2% daripada GDP) berbanding negara-negara yang lebih kurang sama tahap kemajuannya, tahap perkhidmatan kesihatan Malaysia agak tinggi. Malah badan-badan antarabangsa mengakui pencapaian baiknya. Kos rendah dan keberkesanan yang tinggi ini menunjukkan bahawa Malaysia telah pun mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang baik sekarang. (Ini adalah titik yang amat penting untuk diingati apabila anda membaca seterusnya.)

Tetapi walaupun perbelanjaan kerajaan untuk kesihatan adalah antara yang terendah di dunia, kerajaan BN mengatakan bahawa ia tidak lagi mampu membiayainya, walaupun hanya 2% daripada KDNK. Kerajaan kini sedang merancang untuk memaksa semua rakyat membayar sehingga kira-kira 10% daripada pendapatan bulanan mereka ke dalam skim Insurans Kesihatan Sosial (SHI) untuk berkongsi kos perkhidmatan kesihatan negara. Ini tidak masuk akal! Bukankah kos pembiayaan perkhidmatan kesihatan awam dibayar oleh hasil titik peluh pembayar-pembayar cukai? Mengapa pula sekarang kita diminta untuk membayar lagi?

Seharusnya kerajaan BN selesaikan masalah pemborosan, pembaziran, rasuah dan aliran wang haram ke luar negara dahulu dan bukannya memaksa rakyat membiayai tingkahlaku yang tidak bertanggungjawab mereka.

Sebaliknya, kita lihat kerajaan BN membelanjakan hasil titik peluh pembayar cukai ke atas banyak projek yang "lebih penting" dari perkhidmatan kesihatan awam, seperti:

- RM 1 bilion - Menara Mega,
- RM 12 bilion – Skandal PKFZ,
- RM 3 bilion - kapal selam yang tidak boleh menyelam,
- RM 50 bilion - projek MRT yang hanya meliputi km beberapa
- RM 250 juta – projek lembu negara yang dijadikan projek kemewahan diri.

Dan jangan kita lupa
- RM 1 trilion - aliran wang haram ke luar negara

Jika kerajaan dapat mendapatkan semula hanya sebahagian kecil daripada semua wang yang telah disia-siakan ini, negara kita dengan mudah boleh membiayai bahkan mengembangkan sistem perkhidmatan kesihatan awam untuk beberapa generasi akan datang! Sebaliknya kita melihat kerajaan BN tidak mempunyai niat untuk menghentikan amalan membazir dan rasuah mereka. Mereka jelas tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Andaian 2:
Sistem perkhidmatan kesihatan memerlukan satu rombakan dahsyat


Malaysia mempunyai sistem dwi-lapis yang agak berkesan. Semangat dan pemahaman di kalangan rakyat ialah mereka yang mampu akan pergi ke perkhdimatan kesihatan swasta. Mereka yang tidak mampu, akan pergi ke perkhdimatan kesihatan awam. Yang berpendapatan lebih tinggi akan menjaga diri mereka dan mereka juga rela membayar cukai (hanya 10% daripada penduduk adalah pembayar cukai) supaya kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk 90% lagi penduduk yang berpendapatan lebih rendah.

Sistem dwi-lapis ini telah berjalan dengan baik selama berpuluh tahun (ingat, keberkesanannya diakui di peringkat antarabangsa) walaupun ia kini mempunyai beberapa masalah. Tetapi kebanyakan masalah-masalah ini sebenarnya berpunca dari dasar-dasar kerajaan yang tidak sesuai dan juga kekurangan penguatkuasaan peraturan dan kualiti. Keadaan ini mudah diselesaikan dengan pengurusan kerajaan yang mantap.

Masalah kesihatan yang paling utama sekarang adalah keuntungan luarbiasa dan pengurusan kewangan sektor awam yang tidak bertanggungjawab. Langkah pertama dalam apa-apa proses penambahbaikan sepatutnya ialah untuk menyelesaikan dua masalah ini. Tetapi nampaknya seolah-olah k'jaan tiada niat membuka langkah ke arah situ. Sebaliknya, mereka ingin melaksanakan skim Insurans Kesihatan Sosial (IKS ataupun SHI) untuk membasuh tangan mereka dari tanggungjawab membiayai kos perkhidmatan kesihatan awam.

Andailah sistem penjagaan kesihatan Malaysia benar-benar buruk sangat sehingga ia memerlukan satu rombakan yang dahsyat. Tak bolehkah kerajaan kita belajar dari negara lain di mana sistem mereka berjalan lancar tanpa membebankan rakyat? Tetapi sejak 20 tahun yang lalu, k'jaan seolah-olah tidak pernah memikirkan mana-mana sistem kecuali sistem penswastaan dan mewujudkan sistem SHI.

Andaian 3:
Penswastaan ​​dan SHI adalah pilihan reformasi terbaik


Di negara-negara di mana hampir tiada perkhidmatan kesihatan awam (seperti Amerika), SHI mungkin menjadi satu kelegaan. Dalam sistem yang diswastakan, perkhidmatan kesihatan dianggap sebagai satu produk, dan keuntungan diutamakan. Tetapi perkhidmatan kesihatan bukan seperti produk biasa - anda boleh memilih tidak membeli suatu kereta, tetapi anda tidak boleh memilih untuk tidak mendapat serangan jantung. Anda boleh kembalikan suatu baju untuk mendapat refund, tetapi anda tidak boleh kembalikan pembedahan yang sudah dijalankan. Keadaan ini menjamin bahawa pembekal perkhidmatan kesihatan akan sentiasa menguasai pasaran mereka!

Dalam konteks itu, SHI memberi penjagaan kesihatan sejagat pada harga berpatutan apabila diperlukan. Orangramai hanya perlu kurangkan sedikit wang perbelanjaan setiap bulan kerana gaji dipotong untuk membayar skim SHI. Ia merupakan satu alternatif yang baik berbanding keadaan di mana orangramai tidak mampu membayar untuk lawatan / preskripsi doktor yang mahal, penjagaan jangka panjang seperti kencing manis, atau perbelanjaan penjagaan kesihatan mendadak dalam kes-kes seperti kanser atau kemalangan.

SHI yang dilaksanakan dengan baik juga boleh berfungsi sebagai kaedah mengawal penyedia perkhidmatan kesihatan. SHI boleh menuntut kualiti dan akauntabiliti dari penjagaan kesihatan dengan mengehadkan pembayaran jika terdapat amalan yang buruk dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab. Sudah tentu, sistem SHI mempunyai kelemahan, tetapi ia masih lebih baik daripada pasaran kesihatan swasta yang terlalu mahal sehingga di luar kemampuan ramai orang.

Tetapi Malaysia TIDAK mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang diswastakan sepenuhnya, jadi kita tidak perlukan sistem SHI untuk memperbaiki sistem kita. Tetapi sebaliknya, kerajaan BN kini sedang MEWUJUDKAN keadaan-keadaan teruk itu, dengan mengswastakan keseluruhan sistem perkhidmatan kesihatan melalui 1Care! Ini supaya mereka boleh mewujudkan dasar perkhidmatan kesihatan yang serba baru dan melaksanakan sistem SHI di Malaysia! Ini seperti menghantuk kepala sendiri dengan tukul supaya ada alasan untuk membeli Panadol!

Mengarut sungguh!

Sekarang mereka tidak berani menggunakan perkataan "pengswastaan" kerana rakyat memikul beban berat disebabkan dasar pengswastaan ​​dahulu. Perkataan popular sekarang ialah "Autonomi" yang bermaksud membolehkan pembekal perkhidmatan kerajaan memutuskan dasar sendiri tanpa campur tangan kerajaan - seperti dasar harga, sebagai contoh.

Jika terjadi keadaan sebegini, tiada apa yang akan menghalang hospital kerajaan daripada bertindak seperti suatu perniagaan yang mengaut keuntungan.

Andaian 4:
Jumlah penduduk yang berpendapatan tinggi akan cukup untuk membiayai sistem SHI.


Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan data ekonomi makro tidak cukup untuk mengukur kebolehan rakyat sejagat membiayai sistem SHI. Kita mesti mengambil kira keadaan sebenar di akar umbi. Faktor seperti jurang pendapatan, kadar inflasi dan kos hidup perlu dititkberatkan. Kini, jurang pendapatan semakin melebar, kos sara hidup makin melambung dan kadar inflasi rasmi tidak mencerminkan realiti. Tetapi data makro ekonomi mungkin memberi gambaran bahawa terdapat kelas perpendapatan tengah yang besar yang mampu menampung skim SHI ini.

Tambahan pula, penunjuk ekonomi kerajaan sangat mencurigakan. Tahap kemiskinan rasmi ditentukan sebagai pendapatan isi rumah RM800/bulan. Tetapi dalam Bajet 2012, Perdana Menteri mengakui bahawa pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM3000/bulan mempunyai masalah kewangan. Angka rasmi menunjukkan kadar inflasi ialah kira-kira 3%, tetapi kajian bebas menunjukkan bahawa inflasi dalam bandar mungkin setinggi 10%. Perbezaan ini ialah kerana kerajaan mengukur kadar inflasi dengan harga barang-barang yang bukan lazim dibeli oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Pelaksanaan sistem SHI berdasarkan data kabur dan mengelirukan mungkin akan membawa bencana kepada rakyat yang sudah dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi!

Keghairahan kerajaan BN untuk melaksanakan 1Care berdasarkan andaian cacat dan tanpa mengkaji keadaan rakyat sebenarnya hanya menunjukkan sikap tidak peka mereka. Jelas sekali, kepentingan rakyat adalah jauh dari fikiran mereka.

Selain daripada masalah-masalah yang timbul dari andaian cacat ini, 1Care juga menimbulkan beberapa isu yang merisaukan.

Isu 1:
Cukai berganda, tiada faedah tambahan


Konsep SHI tidak munasabah dalam konteks Malaysia. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Malaysia diakui di peringkat antarabangsa kerana mencapai sistem penjagaan kesihatan yang berkesan dengan perbelanjaan yang sangat rendah.

Dengan pelaksanaan 1Care, rakyat Malaysia kini akan membayar cukai, DAN SHI DAN premium insurans swasta mereka. Jika kadar SHI adalah munasabah dan pakej manfaat meliputi semua keperluan kesihatan, orangramai mungkin tidak mempunyai masalah dengan itu. Yang tidak berpuas hati mungkin hanya syarikat insurans swasta kerana mereka akan kehilangan perniagaan.

Tetapi maklumat dalaman mendedahkan bahawa Kementerian Kesihatan telah menjemput syarikat-syarikat insurans menyertai Kumpulan Kerja Teknikal 1Care yang sedang meneliti butiran pelaksanaan 1Care. Kita tidak mendengar apa-apa aduan daripada mereka walaupun pelaksanaan 1Care hampir sampai ke pertengahan prosesnya. Maka, kami boleh menganggap bahawa perniagaan mereka tidak terancam oleh SHI 1Care.

Maklumat dalaman juga menunjukkan bahawa semua bayaran bulanan kami kepada SHI 1Care hanya akan mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas (Pengamal / Klinik Am). Walaupun begitu, rakyat MASIH perlu berkongsi kos (co-pay) bagi ubat-ubatan dan aksesori perubatan. Dan penjagaan kesihatan lanjut (perkhidmatan hospital / pakar) TIDAK DIBIAYAI oleh SHI. Jadi rakyat MASIH akan perlu membayar dari saku atau bergantung kepada insurans swasta, sama seperti kita sudah pada masa ini. Tak hairanlah tiada syarikat insurans swasta mengadu - pasaran mereka langsung tidak digugat oleh skim SHI 1Care!

Inikah yang dikatakan penambahbaikan pada sistem yang kita ada sekarang?! Adakah kerajaan BN benar-benar ingat rakyat akan menerima sahaja paksaan untuk membayar dua kali untuk mendapat satu sistem baru yang akan membebankan mereka dengan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi tetapi tidak memberikan apa-apa faedah tambahan?

Isu 2:
Integrasi sektor perkhidmatan kesihatan awam dan swasta akan menyebabkan kos melambung


1Care akan mengintegrasikan perkhidmatan penjagaan asas awam dan swasta serta menyamakan yuran mereka. Secara praktikal “doktor kerajaan” tidak akan wujud lagi. Semua doktor akan dibayar kadar swasta di bawah 1Care (maklumat terkini adalah bahawa satu lawatan akan dicaj RM60, dibayar oleh skim SHI). Pasti kos perkhdimatan kesihatan asas akan meningkat dengan mendadak.

Doktor 1Care juga ditugaskan menjadi "penjaga pintu" (gatekeeper). Tiada siapa yang boleh berjumpa mana-mana pakar atau dimasukkan ke mana-mana hospital tanpa surat rujukan dari doktor 1Care. Ini menimbulkan persoalan yang besar – melihat yuran klinik dan doktor telah pun diselaraskan dengan sektor swasta, adakah yuran hospital awam / perkhidmatan pakar juga akan mengikut?

Ini memang sebahagian daripada rancangan 1Care. Tak "adil" lah jika pakar kerajaan dibayar kurang daripada rakan-rakan di sektor awam dalam sistem bersepadu yang baru ini. Timb KP KKM sendiri membayangkan ini dalam satu ulasannya di halaman # taknak1care. Khusus beliau mengulas bahawa:
"Bagi pakar atau doktor, jika saya berjumpa 10 pesakit sehari atau saya berjumpa 100 pesakit, gaji saya sama sahaja. Jika anda cekap, anda akan diberi lebih banyak kerja. Ini adalah sistem yang kami ada sekarang."

Melihat 78% daripada katil hospital di Malaysia dimiliki oleh kerajaan yang juga mengendalikan 74% daripada kemasukan hosptial, bayangkan apa yang akan berlaku apabila semua kemudahan kerajaan ini mula mengenakan kadar swasta di bawah 1Care. Kos penjagaan kesihatan akan mencecah langit! Kebanyakan rakyat masih tidak mempunyai insurans dan mereka tidak akan mampu mendapat perkhidmatan kesihatan di bawah skim 1Care baru ini.

Lebih-lebih lagi, perkembangan ini akan mempunyai kesan penggandaan. Salah satu kesan yang saya boleh anggarkan adalah dalam sektor insurans. Faedah SHI 1Care hanya meliputi perkhidmatan terhad GP, maka syarikat insurans swasta perlu menaikkan caj premium mereka dan menghadkan pembayaran pampasan untuk memastikan keuntungan mereka tidak terjejas.

Jelas sekali, pembaharuan 1Care kerajaan BN akan membuang rakyat di tepi jalan dalam usaha mencapai sistem yang menghargai lebih keuntungan lebih daripada nyawa.

Isu 3:
Jaringan keselamatan sosial akan lenyap


Sistem perkhidmatan kesihatan awam kita menjadi pilihan utama bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka berpeluang mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik, dengan harga yang rendah. Tetapi, walaupun 1Care belum dilaksanakan sepenuhnya, caj hospital kerajaan kini tidak lagi murah. Bilik di beberapa hospital kerajaan sekarang sama harga dengan hospital swasta. Yuran lain mungkin lebih rendah dari sektor swasta, tetapi masih ia boleh mencecah beribu-ribu ringgit untuk pembedahan mudah sekarang. Ramai orang berpendapatan rendah akan sukar membayar kos perkhidmatan kesihatan awam seperti ini. Fikirlah, keadaan semakin teruk dan 1Care pun belum dilaksanakan sepenuhnya lagi!

Dalam Bajet 2012, Perdana Menteri mengakui bahawa isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3000/nulan mempunyai masalah kewangan dan perlukan bantuan wang tunai RM500. Kira-kira 60% daripada isi rumah Malaysia berpendapatan di bawah tahap ini. Macam mana mereka boleh dijangka mampu menyumbang sehingga 10% pendapatan mereka ke dalam SHI 1Care ini? Bagaimana jika mereka perlukan penjagaan jangka panjang / perkhidmatan pakar jika tidak ada lagi sistem perkhidmatan kesihatan awam? Di manakah mereka pergi sekiranya mereka mengidap kanser, kencing manis atau tercedera parah dalam kemalangan – pergi jumpa dukun dan sinsei di kampung ke?

Dengan peluang pengswastaan dibuka luas, mungkinkah "penambahbaikan" sistem 1Care ini akan mengikut cara Amerika, di mana perkhidmatan kesihatan dilihat sebagai peluang mengaut keuntungan lumayan kerana pesakit tidak boleh menolak? Di bawah konsep "autonomi", unit milik kerajaan bebas boleh membuat keputusan itu tanpa gangguan dari kerajaan dan rakyat tidak akan dapat berbuat apa-apa.

Kesimpulan
Banyak isu-isu yang membimbangkan sedang menimbul, mengikut pendedahan skop dan struktur 1Care. Tetapi setakat ini, kerajaan BN tidak mempunyai jawapan untuk rakyat.

Maklumat yang dikumpul (banyak dokumen rasmi boleh didapati dalam internet, termasuk laman web kerajaan) menunjukkan 1Care akan mewujudkan lebih banyak masalah daripada menyelesaikannya. Malah, pelaksanaan konsep SHI 1Care sebenarnya akan memusnahkan sistem cekap yang kami ada sekarang, mewujudkan semua masalah sistem perkhidmatan kesihatan swasta Amerika DAN mewujudkan masalah-masalah BARU kerana liputannya yang sangat terhad. 1Care mungkin akan menjadi pengswastaan yang paling membahayakan rakyat Malaysia yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN!

Kerajaan BN seharusnya memperbaiki kelemahan sendiri dan menekankan kepentingan yang wajar dahulu dan bukannya memaksa rakyat tunduk kepada “penambahbaikan” yang penuh keraguan! Kerajaan BN perlu ingat bahawa mereka ditugaskan untuk menyediakan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas yang lain kepada rakyat, dan bukannya membangunkan skim untuk membolehkan mereka menikmati kerja yang kurang dan wang yang lebih. Kami dah muak dengan dasar penswastaan ​​kerajaan yang memaksa rakyat mengeluarkan darah mereka bagi membayar monopoli yang tidak cekap seperti perkhidmatan telefon, air, elektrik, pembetungan, pelupusan sampah, perkhidmatan pos, pengangkutan awam, dan lain-lain lagi. Kini pula, kerajaan BN mahu menswastakan satu lagi perkhidmatan penting - penjagaan kesihatan!

Rakyat tidak harus menerima sistem 1Care ini. Kami tidak sanggup diperlakukan sebegini lagi. Demi diri kita sendiri dan anak-anak kita, kita harus memastikan skim 1Care ini tak akan pernah wujud di tanah air kita ini!


Jangan bagi mereka peluang, belalah nasib yang tersayang.









TAK NAK 1CARE! Sokonglah gerakan ini, sebarkan berita ini

9 comments:

  1. thank u very much for this eye opening info. good job !

    ReplyDelete
  2. It was a blast. I felt its presence.

    ReplyDelete
  3. A nice post and good blog..........great

    ReplyDelete
  4. Nice article and good video...........a great blog

    ReplyDelete
  5. Very Nice Post, Thanks For Sharing...
    traveling

    ReplyDelete
  6. Thank you for sharing. What a strong personality. I am not sure if this is true to all people or just because she is an aged woman or just a mature spirit. But really thanks for sharing. It inspires me. Im gald we have an access to the stories of the entire world. This is how the internet connects us all together and share ideas even if we are far away from each other. By the way, you might want to use the internet not just for blogging but also make money online by joining an affiliate program. This is the power of the internet. You can stay home and still be an enterprenuer

    ReplyDelete
  7. It is a genuine medicinal issue whose side effects incorporate horrifying head torment. This "cerebral pain" can last Cogniflex anyplace from two or three hours to a few days. Sickness is additionally a side effect of headaches, as is brief loss of vision and other eye peculiarities, for example, spots or glimmering lights.
    FOR MORE INFO >>> http://healthnbeautyfacts.com/cogniflex/

    ReplyDelete