Wednesday, February 4, 2009

Allah...the real issues involved.

JMD dan sekalian,

Ingin saya menjelaskan sesuatu yang telah menjadikan perbincangan di forum ini semakin keruh.

Jika anda semua baca posting saya dengan teliti, hujah saya yang terdahulu adalah berlandaskan fahaman bahasa dalam isu kegunaan nama "Allah". Tetapi apabila saya membaca komen oleh river, didapati beliau telah menyatakan situasi ini dalam konteks social/agama di Malaysia dengan lebih jitu, iaitu:

"It is not because the word ‘Allah’ belongs to the Muslims, it is because the law in this country protects Muslims from apostasy."

Jadi, isunya bukan mengenai bahasa, tetapi sensitiviti agama dalam penggunaan nama "Allah". Sejak itu, saya tidak lagi berhujah berlandaskan fahaman bahasa. Sebaiknya saya mencuba menerangkan mengenai isu-isu yang lebih mendalam yang terlibat dalam kontroversi ini.

Akan tetapi, ramai komenter yang berikutan telah berbalik kepada isu penggunaan bahasa, terutamanya dengan hujah yang menyatakan bahawa jika isu ini hanya isu bahasa bagi penganut Kristian, baik guna perkataan Tuhan sahaja. Dan juga sebagainya yang lebih-kurang.

Jika komenter di sini enggan meneliti hujah seseorang dan memberi respon tanpa memahami apa yang telah dinyatakan, amat susah untuk mengadakan perbincangan yang bermanafaat.

Tujuan saya ke sini berbincang adalah untuk cuba mewujudkan kesefahaman. Saya tidak menolak Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Ini adalah kenyataan di Malaysia dan tidak dipertikaikan.

Isu sebenar yang ingin saya ketengahkan adalah - jika hari ini melarang segelintir penganut Kristian dari menggunakan nama "Allah" yang memang sudah menjadi kebiasaan bagi mereka, apakah hari esok akan menghalang mereka dari menggunakan perkataan "Tuhan" kerana kepercayaan Muslim adalah "tiada Tuhan melainkan Allah"?

Seterusnya, mungkinkah di masa depan Malaysia akan menjadi seperti China, dimana kesemua agama akan ditadbir oleh kerajaan pusat? Ataupun, agama lain tidak dibenarkan lagi kerana Malaysia adalah negara Islam, "tiada Tuhan melainkan Allah", maka jika ingin menyembah Tuhan, hanya boleh menyembah Tuhan yang satu, iaitu Allah?

Itu isu yang pertama.

Isu yang kedua:

Jika di negeri-negeri Arab, di mana asalnya agama Islam, penganut-penganut agama Islam, Yahudi dan Kristian boleh bebas menggunakan nama "Allah" tanpa berasakan yang mereka akan tersesat jalan dari agama masing-masing, kenapa pula Muslim di Malaysia tidak begitu?

Mungkinkah jalan penyelesaian yang lebih baik ialah untuk meningkatkan nilai dan kualiti ajaran agama supaya anak-anak Islam tidak akan tersesat?

Isu yang ketiga:

Malaysia adalah negara demokrasi moden, di mana kebebasan dan hak kesemua rakyatnya patut dibela. Tetapi dari berbagai posting di sini, boleh dikatakan intisarinya ialah apa yang diingini oleh golongan Muslim yang sefikiran di sini adalah kawalan ketat kerajaan ke atas mana-mana unsur, orang, kaum, agama dan sebagainya yang dirasakan berkemungkinan boleh mengganggu ketenteraman fikiran kaum majoriti di Malaysia.

Apa yang disarankan itu adalah dikenali sebagai Fascisme. Seperti dihuraikan di Wikipedia:

"Fascists aim to create a single-party state in which the government is led by a dictator who seeks unity by requiring individuals to subordinate self-interest to the collective interest of the nation or a race. Fascist governments permanently forbid and suppress all criticism and opposition to the government and the fascist movement."

Jika kerajaan diminta menjunjung kuasa sebegini, suatu hari nanti mungkin diri sendiri yang akan menjadi penerima akibatnya. Bacalah "Animal Farm" oleh George Orwell untuk memahami bagaimana ini boleh berlaku tanpa kita mengetahuinya.

Jadi sekalian, saya bukannya menyokong penggunaan nama "Allah" oleh Kristian, sebab saya sendiri amat kurang menggunanya dan tidak akan biasa menggunanya. Jika betul berlaku bahawa penganut Kristian dilarang menggunakan nama "Allah", saya tidak akan terasa rugi atau sayang. Saya memang lebih suka menggunakan perkataan Tuhan.

Tetapi jika betul berlaku bahawa penganut Kristian dilarang menggunakan nama "Allah", saya akan berasa gerun yang senario-senario dalam isu pertama dan ketiga yang dijelaskan sebelum ini akan menjadi semakin nyata di Malaysia.

Sebab itulah saya nyatakan berkali-kali. Jalan penyelesaiannya bukan untuk memberi kuasa kepada kerajaan untuk mewujudkan lebih mekanisme kawalan, tetapi untuk rakyat jelata mengadakan perbincangan terbuka untuk mencapai kesefahaman, demi membina masyarakat majmuk yang bersepadu, berlandaskan rasa hormat dan kepercayaan diantara semua kaum di Malaysia.

Sekian.

Wassalamualaikum.

No comments:

Post a Comment