(versi B.Inggeris rencana ini boleh dibaca di sini)
Rencana “Bahaya musang berbulu ayam” Mr Tee yang terbaru disiarkan dalam Mingguan Malaysia sekali lagi menonjolkan keperibadiannya yang kecil hati dan minda. Hujah-hujah yang bertentangan dengannya semua dilabelkan sebagai berpunca dari golongan “ultra kiasu” - gelaran kegemarannya untuk bangsa orang tuanya.
Beliau mengeluh yang “Fakta yang saya kemukakan tidak dibahas.” Memang sudah dibahas semuanya, Mr Tee. Cuma awak yang tak boleh terimanya. Itulah yang membawa kepada berbagai kritikan atas keperibadian Mr Tee – antaranya kerana sikap bongkaknya. Apabila ditunjukkan kelemahan peribadinya itu, beliau bukannya mengambil hemah daripadanya sebaliknya menganggapnya sebagai serangan peribadi.
Sebagai seorang ustaz, tak sedarkah Mr Tee ini yang kita semua ini manusia dengan kelemahan sendiri? Bak pepatah Cina – jari atas tangan pun ada panjang pendeknya. Kenapa tinggi sangat tanggapan dirinya sehingga macam tak boleh percaya bahawa orang lain pun berhak menegurnya, dan bercanggahan dengan pendiriannya? Apakah unggul sangat pemikiran Mr Tee ini sehingga tidak boleh disangkal? Ataupun sempurna sangatkah Mr Tee ini sehingga tidak boleh dikatakan mempunyai kelemahan?
Sebenarnya penafian dan serangan balas beliau ini menunjukkan sikap kurang matangnya! Yang ironisnya, pernah beliau menulis “Adakah kita terlampau baik sehingga tidak boleh ditegur?” apabila menyerang pengkritiknya. Dirinya sendiri bagaimana pula penilaiannya?
Dan dalam giatnya Mr Tee menyerang peribadi mereka yang menyangkalnya (ultra kiasu la, musang berbulu ayam la, pandai mepermainkan Melayu la, dan pelbagai gelaran menghina yang lain) kita boleh lihat betapa kecut sebenarnya Mr Tee ini – dari mempertahankan hujahnya dengan berprinsip apabila ia dikecam, dimain-mainkan sentimen Melayu Islam dan mempergunakan alat kerajaan (akhbar Utusan) untuk melindungi diri.
Haa...baiklah Mr Tee, tak payahlah mengeluh lagi. Kini terimalah perbahasan berdasarkan fakta tulisan anda. Dan kami akan berhujah tanpa bersandarkan orang kuat di sebalik kami atau alat dan jentera kerajaan.
-
Mr Tee - Masuk Melayu ke, masuk Islam?
“Kepada orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu ini, saya menyeru keluarlah sebelum terlambat. Musang berbulu ayam ini amat licik. Mereka akan mempergunakan kita bagi menghalalkan matlamat yang ingin dicapai.”
Bukankah kenyataan beliau ini bukti muktamad yang Mr Tee kini menganggap dirinya sebagai sudah berbangsa Melayu? Dari tulisannya kita boleh membuat kesimpulan yang Mr Tee ini bukan sahaja menganggap dirinya Melayu, tetapi ultra-Melayu!
Sebenarnya tak salah menghargai budaya satu kaum, dan juga tak salah kalau ingin menghayatinya, tak salah pun kalau ingin membuang budaya asal demi masuk budaya baru. Itulah kebebasan diri untuk memilih jalan hidup kita. Tetapi apa yang salah adalah sifat munafik Mr Tee yang melabelkan segolongan itu sebagai “ultra-kiasu” (ataupun boleh ditafsirkan maksudnya “ultra-Cina”) sementara sifat ultra-Melayu dirinya menonjol sangat.
Munafiknya Mr Tee ini juga dilihat apabila beliau menafikan dirinya Melayu walaupun sifat utra-Melayu ala UMNOnya jelas dalam tulisannya. Tetapi apabila dibongkar sifat ultra-Melayunya, Mr Tee ini menafikannya dan memutarbelitkannya menjadi isu anti-Islam untuk menyemarakkan kemarahan kaum Melayu Muslim terhadap warganegara Malaysia yang berketurunan bukan Melayu.
Sungguh tidak bertanggungjawab perbuatan Mr Tee ini. Tetapi dalam keangkuhannya, beliau berani mengatakan tanpa sebarang rasa segan, “Sebagai seorang ahli akademik dan penulis, saya bertanggungjawab terhadap apa jua yang ditulis.” Ha...kalau benar begitu Mr Tee, silalah bertanggungjawab – mengakulah diri sebagai batu api antara kaum di Malaysia dan minta maaf daripada majoriti warga Malaysia pelbagai kaum (terutamanya Melayu Muslim) yang inginkan keamanan!
Penulisan bersikap munafik Mr Tee ini bukan sahaja memudaratkan imej Islam, tetapi mengaibkan budaya halus Melayu dan mengkhianati kaum dan diri orang tuanya sendiri.
-
Mr Tee – Besar kepala dari topinya
“Mereka cuba mendapatkan semaksima mileage politik dan mengecam peribadi seseorang yang dianggap mengancam kedudukan mereka.”
Mr Tee, Mr Tee...
Bak pepatah Cina, jangan pakai topi yang besar kalau kepala tak sebesarnya. Ini untuk mengingati kita supaya pandai-pandailah menilai diri dan jangan memandang tinggi sendiri. Akan tetapi Mr Tee ini mungkin bak kacang lupakan kulit dan sudahpun lupa segala adat Cina. Respon dari Mr Tee ini menunjukkan beliau seperti lebih cenderung kepada apa yang dikatakan dalam bahasa Inggeris “big headed” yang bermaksud bongkak.
Beliau ini jelas menunjukkan keangkuhannya kerana menganggap dirinya betapa penting dan berpengaruh sangat sehingga boleh mengancam kedudukan seluruh “kaum kiasu”nya, iaitu kaum berketurunan Cina di Malaysia.
Mr Tee, ini ada sedikit teladan buat anda - kalau ada orang sudi berbahas dengan awak, maksudnya mereka memberi peluang untuk anda membuktikan kesahihan hujah anda. Kalau anda dianggap setakat tin kosong sahaja, malas orang nak perbahaskan anda. Sebagai insan mulia dan beradab, sepatutnya Mr Tee ini membalas perbahasan itu dengan mengetengahkan lebijh fakta dan logik dengan penuh sopan, besar hati dan rendah diri. Seorang yang matang dan sedar diri tidak akan terasa tergugat. Sebaliknya dia akan memuhasabah diri untuk melihat samada mereka harus meningkatkan diri lagi bagi menyahut cabaran.
Tetapi Mr Tee ini tidak - diserang balasnya dengan pelbagai tuduhan berbau perkauman ke atas kaum ibubapanya, diapi-apikan sentimen perkauman, diserang peribadi pengkritiknya, dan difitnah mereka dengan berbagai sindiran dan tanggapan meragukan. Ini bukannya respon seorang yang matang, berpelajaran dan beretika!
-
Mr Tee – Cakap tak serupa bikin
“Umar seorang pemimpin yang amat low profile atau tawaduk dan bersikap terbuka, termasuk menerima kritikan rakyat.”
Dari menyerang pengkritiknya, baik Mr Tee insaf dan lihat pada dirinya sendiri sebelum menuding jari. Kalau tidak, dia setakat meludah ke langit terkena muka sendiri sahaja. Adakah Mr Tee “bersikap terbuka, termasuk menerima kritikan rakyat”?
Jelas, beliau tidak.
-
Mr Tee – Penyindir nombor satu
“Umat Islam perlu ingat, wakil rakyat tersebut pernah menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis dan mahu menghalalkan arak serta lain-lain yang diharamkan Islam. Pernahkah beliau meminta maaf, walaupun telah didesak melakukannya? Jawapannya, tidak, kerana mereka sama sekali tidak akan bersetuju dengan Islam, malah cuba sedaya upaya untuk mencabut identiti ini dari orang Melayu.”
Sungguh ironis kenyataannya ini kerana dahulu dalam rencananya,Mr Tee mengatakan, “Jika saya dituduh munafik, setidak-tidaknya saya berterus-terang. Berbanding mereka yang pepat di luar, rencong di dalam, ibarat gunting dalam lipatan.”
Kalau beliau betul-betul berterus-terang, cakaplah siapa yang menuduh Islam sebagai pelampau dan mahu menghalalkan apa yang haram dan sebagainya. Bagilah sekerat dua petikan tulisan atau ucapan orang itu supaya dia boleh dikenali ramai dan dikecam sekuat-kuatnya. Nak tuduh seseorang, buatlah dengan terang-terang. Ini nak sorok-sorok nama orang tu buat apa? Takut kena saman fitnah ke?
Jantanlah sikit dan berterus terang dengan sepenuhnya! Jangan baling batu sorok tangan dengan melempar berbagai sindiran dan bohongan serta memutarbelitkan kebenaran!
-
Mr Tee - Menghina bangsa asalnya dan bangsa barunya
“Perlu diingatkan, golongan ini bijak membaca psikologi dan memainkan sentimen orang Melayu.”
Ini adalah penghinaan besar kepada seluruh kaum Cina, yang digelar “kaum kiasu” oleh Mr Tee. Dihakiminya seluruh kaum Cina sebagai penghasut, pengkhianat dan tak teragak-agak mempermainkan dan memperalatkan Melayu untuk kepentingan diri.
Saya nak tanya, atas bukti apakah Mr Tee ini boleh menghakimi seluruh kaum Cina sebegitu? Dan atas kuasa siapakah beliau berhak menghakimi seluruh kaum Cina sebegitu? Saya nak tanya juga, adakah dia juga menganggap ibubapanya yang berbangsa Cina sebegitu? Ini memang gelagat anak biadab yang langsung tak kenal budi orang tuanya!
Lebih-lebih lagi, hasutan dan penghinaannya ini disiarkan dalam akhbar terbesar di Malaysia yang mempunyai lebih sejuta pembaca sehari. Tidakkah kata-katanya akan menyemai prasangka buruk dan rasa syak wasangka antara kaum di Malaysia? Ataupun Mr Tee ini hanya ingatkan hendak mempertahankan egonya sendiri?
“Bantuan mereka ini menyebabkan orang Melayu mudah terhutang budi. Kedudukan sebegini menjadikan Melayu menjadi serba salah, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.”
Kenyataan ini juga merupakan penghinaan yang besar buat kaum Melayu kerana dianggapnya Melayu begitu lemah jiwa dan minda sehingga sanggup jual maruah bangsa demi sepinggan nasi berlauk rendang di rumah terbuka ahli politik pembangkang? Rendah sangatkah tanggapannya terhadap kekuatan zahir dan batin Melayu?
Tidakkah beliau mempercayakan kebijaksanaan rakyat Melayu? Tidakkah beliau menganggap yang Melayu mampu menilai keadaan dengan objektif? Tidakkah beliau menerima yang Melayu boleh membuat pilihan wajar dengan sendiri tanpa bimbingannya?
Dari tulisannya ini, memang dia menganggap Melayu tidak boleh. Macam mana boleh menjadi pensyarah motivasi dan intelektual Melayu jika tanggapannya terhadap Melayu begitu rendah sekali?
Ironisnya lagi, dalam rencananya bertajuk Memperkasa agenda negara berbanding agenda bangsa Mr Tee telah menulis “Menghina bangsa sendiri bermakna menghina kejadian Allah SWT.”
Munafik ke tak munafik Mr Tee ini, tepuk dada tanya selera...
-
Mr Tee – yang munafik antara yang munafik
“Saya terpaksa campur tangan sebab saya orang Islam. Kerja orang Islam ialah membetulkan kekusutan, bertindak atas dasar amar makruf nahi mungkar bagi menyelamatkan umat Islam.”
Memang wajar Mr Tee ini sebagai orang Islam menghayati dasar amar makruf nahi mungkar. Tetapi dalam beliau beria-ia menyerang para pengkritiknya, tidak kedengaran apa-apa pun darinya mengenai skandal PKFZ yang menelan wang rakyat sebanyak RM12 billion lebih?
Bagaimana pula dengan kes-kes kematian dalam lokap yang sudah melebihi 1500 orang di antara tahun 2003-2008?
Apa pula dengan isu perogolan berleluasa gadis-gadis Penan dan perampasan tanah pusaka orang-orang asal yang amat miskin di Sarawak?
Adakah serangan bertubi-tubi ke atas bangsa asalnya (dan bangsa orang tuanya) dikira sebagai "membetulkan kekusutan"?
Jelas, isu-isu seperti itu terlalu remeh untuk mendapat perhatian Mr Tee berbanding dengan kerja menjaga maruah dan mempertahankan egonya.
-
Isu kenapa Ridhuan Tee ini ditentang hebat oleh berbagai pihak bukan kerana dia besifat Melayu atau beragama Islam. Ia adalah kerana keangkuhan dan munafiknya dalam menghakimi dan memfitnah kaum Cina dan cara dia menutupi kelemahan hujahnya dengan menjadikannya isu perkauman dan keagamaan.
Untuk mengetahui minda seorang Melayu yang menyangkal pendapat Mr Tee ini, sila layari ke sini. Untuk rencana oleh seorang Melayu yang menyokong Mr Tee berlandaskan fakta dan logik, sila layari ke sini.
Cubalah Mr Tee mempelajari dari mereka cara berhujah tanpa ego.
Pengkhianat ini tidak beza langsung dengan pembelot-pembelot [ defectors ] zaman jajahan Jepun di Tanah Melayu
ReplyDeleteSaya mengecam Ridhuan Tee terus terang, yang sebenarnya Bahaya Musang Berbulu Ayam ialah Ridhuan Tee sendiri bukannya Dap dan Pakatan Rakyat. Tulisan beliau motif utamanya ialah menghasut dan menanam kebencian terhadap orang-orang bukan Sawo Matang agar pada PRU13 pengundi semua menolak kesemua calon Pakatan Rakyat. Inilah sikap licik beliau mengaburi mata orang Melayu. Tulisan beliau selalu suka mengunakan agama dan bangsa sebagai perisai beliau. Saya tidak menpertikaikan agama beliau cuma tidak setuju dengan perangai beliau yang ultra kiasu bukannya Orang Cina dan parti yang mengecamnya.
ReplyDeleteSaya rasa MR Tee sudah panik , tak pasal pasal menghasut orang Melayu jangan masuk DAP. Sebenarnya semakin orang Melayu mulai yakin dengan DAP and pimpinan Pakatan Rakyat. Fikirannya kolot sudah outdated, perlu diingat jangan lupa ini zaman generasi muda. Mr Tee ini cakap tidak serupa bikin, beberapa blog dia yang lalu pernah Mat Sandiwara ini berkata dia malas nak layan tohmahan orang lain kerana bagi dia , mereka adalah golongan kelas ketiga dan ultra kiasu. Nampaknya, Mat Sandiwara ini sebenarnya yang ultra kiasu, golongan kelas ketiga dan dialah orang dalam perpatah Melayu Siapa yang makan cili dia yang merasa pedas itulah Mat Sandiwara ridhuan tee! Kalau berani janganlah hentam parti pembangkang terutamanya DAP di media arus perdana. Kalau boleh cabarlah DAP dengan berdebat dengan mana-mana tokoh mereka.Sebagai contoh bila orang kutuk Mat Sandiwara ini, dia kata orang tersebut tidak fasih dan faham Bahasa Melayu.Kalau Ridhuan Tee ini dibandingkan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw dari DAP dalam pertuturan dan tulisan Bahasa Melayu. Kebolehan DR TAN jauh lebih baik dari Mat Sandiwara. Janganlah bongkak sangat, inilah sikap Musang Berbulu Ayam iaitu Ridhuan TEE!!!!!!!!!
ReplyDelete